 |
|
Mar 6, 2007
http://adninwanis.blogspot.com http://hidayahya.blogdrive.com Dua blog milik saya ini akan digabungkankan dibawah penjenamaan semula nama pena rasmi saya sebagai Naim Adnin di : http://naimadnin.wordpress.com/Mulai hari ini, entry terbaru akan berada disana. (harta benda sudah selamat dipindahkan, rumah akan roboh lepas ni hehe)
Posted at 05:15 am by nurul_hidayah
Permalink
Mar 1, 2007
Apa yang aku lakukan hari ini lebih kurang merumuskan segala aktiviti yang aku lakukan sejak lebih kurang sebulan ini.. (bagi anda yang selalu bertandang kesini dan balik dengan hampa kerana tiada update.) Pagi ini aku menyiapkan diri lebih awal. Kerana aku ada Test 2 untuk subjek Decision Science. Pukul 10.
Aku sudah bersedia bersengkang mata sejak semalam. Ini satu lagi tabiat. Kalau aku berjaga sampai pukul 3, 4. Susah nak melelapkan mata selepas itu. Kadang-kadang aku paksa juga juga tidur ( dan selalunya tidak berjaya, terkebil-kebil sambil melihat jam setiap 15 minit ). Begitulah lebih kurang yang terjadi sehingga ke pukul 6, kemudian bergelut dengan kesejukan (mandi).
Lebih kurang pukul 9.35 sudah turun. Berjalan ke Econ ( Kulliyyah of Economics, tetapi kami disini menyingkatkannya begini ) mengambil masa 15 minit. singgah dulu di kiosk Nescafe. Give me the strongest coffee. Aku perlu kafeina untuk bertahan!
Sekarang mari aku terangkan tentang Decision Science. Pernah anda bayangkan bagaimana Wall-Mart menyusun operasinya? jawapannya, dengan menggunakan Decision Science. Dari awal lagi aku sangat suka belajar ini. Ia adalah subjek yang senang, tapi memerlukan pengiraan yang panjang. yang mana aku tak kisah kerana aku memang suka mengira. Subjek wajib universiti selain Kulliyyah Enggineering. Pensyarahnya juga sangat pandai mengajar. Bro Eskandar.
Aku sampai ke kelas lima minit lambat dan Bro Eskandar hanya mengerling. Muka ini memang selalu lambat.hehe.
Duh. Kecilnya meja kerusi ini. Mana nak letak beg,kerusi,buku , kalkulator dan kertas jawapan. Di pertengahan ujian, handphone berbunyi. Lupa nak silent. Buru-buru aku mengalihkan segala barang dan keluar. Ah serabut betul. Bro Eskandar hanya melihat sahaja. Stelah kembali, 15 minit kemudian aku sudah menyiapkan semuanya dan terus menghantar kertas jawapan. Dan kemudian terus keluar.
Bro Eskandar hanya melihat sahaja.
Posted at 09:28 am by nurul_hidayah
Permalink
Feb 28, 2007
Pagi ini, aku dikejutkan dari tidur dengan suara Emak betul-betul rapat menyentuh cuping telinga, menyeru namaku dengan nada berbisik tetapi sangat jelas.
Da.
Aku terus tercelik, terbangun, terduduk dan berteleku. Berfikir sebentar. Memang ada perkara-perkara yang paranormal berlaku sebelum ini antara aku dan Emak, dan aku menganggapnya normal. Melambangkan erat ikatan antara ibu dan anak. Tetapi terdengar suara Emak menyeru aku begini, bukan mimpi, adalah kali pertama aku mengalaminya.
Tidak lama selepas itu, aku menghubungi rumah. Emak biasa-biasa sahaja. Tidaklah sakit, tetapi kesihatan itu tidak pula bertambah baik. Emak memang menangggung sakit kencing manis yang berat. Juga Abah, yang organ dalamannya - jantung, buahpinggang,paru-paru - aku tahu semuanya menunggu masa kritikal sahaja. Buat masa ini hanya berehat sahaja di rumah. Tidak lagi mampu untuk mengisi hobi lapang dengan berkebun seperti biasa.
Rabbighfirlii waliwaalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaani soghira..
Posted at 08:42 pm by nurul_hidayah
Permalink
Feb 14, 2007
Bukalah mana-mana radio yang menyiarkan berita RTM, dan anda akan mendengar seperti ini : Perdana Menteri dijangka berangkat ke kesian-sekian. Perdan Menteri dalam ucapannya menyeru...Perdana Menteri merasmikan...Perdana menteri sekian sekian...Sepanjang-panjang berita selama 15 minit 90% kandungannya adalah begini. Dalam bahasa yang lebih nakal, berita RTM seakan-akan 'blog' Pak Lah. Bezanya ia bukan ditulis sendiri oleh Pak Lah tetapi ia tetap berfungsi sebagaimana blog lazimnya berfungsi - laporan terkini tentang orang yang terbabit tak kiralah penting untuk diberitahu atau tidak.
Jangan salah sangka - tidak bermaksud untuk mengata Pak Lah. Tetapi apabila mendengar berita RTM yang disiarkan di MuzikFM semalam, aku tidak dapat lari dari berasa seperti membaca karangan semasa sekolah menengah dulu, sewaktu cikgu suruh menulis karangan berbentuk laporan. "Perdana menteri dan rombongannya yang baru sahaja kembali dari Thailand dijangka singgah ke Sabah untuk merasmikan kilang berharga RM250 juta..".
Nasib baik masih ada satu laporan berita yang sekurang-kurangnya dirasakan penting - "Perdana Menteri selaku presiden OIC mengutus surat kepada Israel supaya menghentikan kerja-kerja penggalian bawah tanah di BaitulMaqdis.."
Posted at 01:49 am by nurul_hidayah
Permalink
Feb 8, 2007
Aku lupa hendak membilang berapa harikah sudah hujan tidak turun, rasanya sudah dua, tiga minggu. Cuaca sejak dua tiga hari ini semakin panas. Rumput-rumput mula menguning. Angin bertiup kuat semenjak akhir-akhir ini. Panas. Aku yang biasa menutup rapat tingkap dan berselubung selimut setiap malam, mula pandai membuka tingkap luas-luas sehingga ke Subuh. Selimut entah kemana. Tak kisah kerana aku tinggal di tingkat 4. Tak tahulah pula aku kalau-kalau ada Cicakman pula datang bergayutan di siling kompartmenku yang kecil ini.
Di tengah-tengah kehangatan El-Nino ( benarkah?) nampaknya pihak Sekuriti dan Trafik IIUM giat 'mengumpulkan' duit. Mana-mana pelajar yang belum lagi mendapatkan stiker kereta IIUM, maka akan diapit tayar keretanya dan disaman RM10-RM25. Membaralah hati segala pelajar, termasuk dua orang kawan sebilik aku, kedua-duanya kena saman RM10 seorang. Nasiblah, nak buat macammana, di UIA ini sistemnya memang begitu. Semua kesalahan akan dikompaun. Kata Pak Guard duit PTPTN kami banyak. Ha ha.
Aku mahu mengusulkan cadangan baru untuk denda - komuniti servis. Bukankah lebih baik untuk pelajar yang tidak mempunyai duit gaji lagi? Entahlah, materialistik.
Posted at 08:13 pm by nurul_hidayah
Permalink
Feb 4, 2007
Makcik Tukang Bersih dari Madura sudah lama tidak kelihatan. Pagi tadi aku mendengar bunyi jirusan air hos. Sengaja aku pergi membasuh tangan. Makcik lain. Sedang menyapu di kubikel tandas. Bila dia dengar saja bunyi selipar aku celepap celepap cepat-cepat dia keluar ( atau kebetulan, tapi aku merasakan dia sengaja). Menyapu lantai di bahagian bawah sinki tempat aku sedang membasuh tangan. Basah kaki seluar aku terkena percikan air yang disapunya. Adakah ini tidak sengajakan atau memang disengajakan, mesej tidak rasmi untuk menghalau aku keluar, aku tidak tahu. Aku cuma masuk membasuh tangan sebentar sahaja, sambil-sambil cuba menangkap matanya dan senyum. ( tujuan asal aku hendak menegurnya dan bertanyakan tentang Bu Aji dari Madura). Adakah itu salah?
Tak jadi. Aku kembali semula kebilik dan menyalin seluar.
Rasa kehilangan bila tidak nampak apa yang biasa di nampak. Sekali pandang ini cuma kehidupan biasa di kolej kediaman. Setiap individu melakukan aktiviti yang sama setiap hari. Sudah 3 tahun aku tinggal di kawasan yang sama dan memerhati orang yang sama. Makcik tukang bersih bersilih ganti tetapi Bu Aji dari Madura lah yang paling mesra denganku. Salah satu sebab kenapa aku sangat suka dengannya ialah bagaimana dia boleh sentiasa senang hati, gembira dan tidak runsing. Sentiasa mesra. Aku pernah membuat kerja-kerja membersihkan tandas sewaktu tinggal di asrama sekolah - menggosok mangkuk tandas kegunaan awam adalah jihad paling besar kurasakan ( kerana itu aku tidak pernah tersinggung dengan pencuci tandas yang rona wajahnya masam kelat ). Tetapi Bu Aji dari Madura seakan tak pernah kisah.
Posted at 10:41 pm by nurul_hidayah
Permalink
Jan 23, 2007
Gugur lagi sehelai daun dari arasy' - Satu lagi jiwa kembali ke pangkuan Ilahiah. Kurang tujuh minit lagi ke pukul satu pagi. Dada yang berombak laju menjadi perlahan, dari perlahan menjadi kaku. Mata yang tertutup rapat sudah tamat kisahnya sejak azan Zuhur tengahari tadi - terbuka menerawang, memandang keliling kemudian tertutup rapat. Dan tidak terbuka lagi sehinggalah saat dengusan nafas yang terakhir. Anak cucu, isteri dan menantu menangis.
Aku belum pernah menyaksikan proses kematian - belum pernah menyaksikan secara alami di hadapan mata aku sendiri. Menyaksikan jenazah yang sudah kaku pernah dua kali. dulu tidak dapat aku bayangkan tanda-tanda kematian - mata, kening,telinga,dagu,jatuh dan sebagainya. Kemudian baru aku tahu juga, nyawa itu ditarik Izrail dari pelbagai tempat - boleh dari ubun-ubun, dari mata, dari mulut. Tempoh masa nazaknya seseorang juga tidak menentu, ada yang sekelip mata, ada juga seperti Tuk Saudara aku ini, mengambil masa yang lama. Mungkin Izrail menarik nyawanya secara lemah lembut, sedikit demi sedikit.
Arwah Tuk Saudara yang aku panggil Wan ini juga, sewaktu sakitnya dan nazaknya, anak dan cucu penuh berhimpun membaca Yasin, siang malam sentiasa ditunggu. Rakan-rakan berjemaah di surau setiap hari datang berziarah.
Menyaksikan semua ini memang tidak dapat tidak, memaksa aku untuk mengenang kematianku kelak. Adakah aku akan mati tua atau muda? Esok lusa mungkin? Adakah amalanku sekarang cukup untuk menagih belas Izrail supaya tidak menyentap kasar rohku, jiwaku dari Jasad? Orang-orang, keluarga dan sahabat handai, adakah aku cukup memberikan bahagia untuk mereka memandikan dan menyembahyangkan jenazahku?
Menyaksikan semua ini juga memberikan iktibar; lazimnya rakan yang setia menunggu sehingga ke nafas yang terakhir - membacakan Quran, Selawat Syifa' dan mengajarkan Syahadah selain dari rakan berjemaah di Masjid dan surau. Tiada juga yang setia menunggu selain dari anak cucu yang dididik dengan ajaran Islam yang sempurna. Sekurang-kurangnya yang kenal alif ba ta. Ya dan sin.
Sudahkah kita bersedia? Untuk mati?
Alfatihah ~ Wan Hasbullah Wan Ali, adik kepada arwah bapa kepada ibuku, Wan Hanafiah Wan Ali. Arwah masa hidupnya dikenali sebagai seorang yang lemah-lembut, ibarat bapa kepada Ibuku yang yatim sejak kecil.
Posted at 06:14 am by nurul_hidayah
Permalink
Jan 21, 2007
Cuti pertengahan semester - bermula. Bermakna sudah melepasi separuh masa semester ini. Bagaimana pencapaian aku setakat ini? Serasa aku gred A-. Jauh lebih baik dari dulu. Aku dulu kalau hendak diceritakan dalam bahasa mudah - jarang dapat membuat Emak tersenyum. Harapan aku biarlah sementara masih ada peluang, Emak akan dapat tersenyum kerana aku. Semoga Mak rasa berbaloi membesar aku - satu-satunya anak dari yang enam yang dipohon sendiri betul-betul di hadapan Kaabah.
Cuti pertengahan semester - aku merancang untuk tidak pulang kerumah. 1) Bajek kewangan yang ketat 2) Mentelaah! 3) Merancang menjadi sukarelawan banjir di Johor. Tetapi - sampai pula berita, saudara terdekat di Kelantan sakit tenat. Aku harus balik ke Kelantan seberapa segera.
Jadi harus balik. Alangkah beratnya hati kerana - 1)Bajek ketat sudah pasti lari 2)Jadual mentelaah pun lari 3)Hasrat menjadi sukarelawan banjir terbatal.
Tetapi tanggungjawab sesama manusia harus didahulukan. Malam esok aku akan bertolak ke Kelantan, tiket sudah dibeli.
Aku merancang untuk membawa balik projek mengaitku- salah satu kebolehanku yang selalu buat Mak tersenyum! Dan hanya aku seorang sahaja dalam keluaarga yang cenderung ke arah ini : )
Posted at 11:01 am by nurul_hidayah
Permalink
Jan 20, 2007
Selamat Tahun Baru Hijriah 1428
Antara Kelebihan menggunakan kalendar Hijrah :
Kita berpeluang untuk berpuasa dan beraya pada musim-musim yang berlainan. Umat Islam di Malaysia sudah tentu tidak terasa perbezaannya kerana cuaca di negara kita panas hujan sepanjang tahun, tetapi cuba bayangkan di negara yang mempunyai cuaca empat musim. Katakan bulan puasa jatuh pada bulan Disember, kasihanlah mereka terpaksa berpuasa pada musim sejuk sepanjang masa! Itulah hikmah kita berpuasa pada bulan Ramadhan, bukan bulan Disember!
Selamat tahun baru Hijriah 1428 buat semua rakan-rakan dan pembaca blog yang dikasihi :).
Posted at 02:36 am by nurul_hidayah
Permalink
Jan 19, 2007
Kenapa kita perlu mengagungkan Imam lain?
Posted at 02:34 am by nurul_hidayah
Permalink
|
|
|
 |
 |
|  |
 |
nurul_hidayahDecember 9th 1983 (Age 26) Female Kuala Kangsar
Masih lagi menuntut di UIAM, Gombak dalam bidang Kejuruteraan Komputer dan Teknologi Maklumat. Pernah menetap di Brunei, Kelantan dan sekarang bermastautin di Kuala Kangsar, Perak. Menggemari hujan dan permainan komputer (RPG dan MMORPG) seperti Darkthrone dan Age of Mythology, juga Pac-Man dan Minesweeper. Mempunyai kebolehan mengait dan menjahit baju kurung sendiri. Masih mengasah bakat dalam bidang penulisan, dan menjadikan blog sebagai salah satu daripada batu pengasah mata penanya - dalam bahasa melayu betul.
Antara yang anda akan temui dalam blog ini ialah kisah-kisah semasa kecil, dan kisah-kisah semasa dalam konteks kehidupan seorang pelajar, dan gambar-gambar yang diambil dari lensa kamera digital Olympus C310.
|
 |
 |
|  |
|
|
 |